Dunia Seni Lukis di Malaysia


Di negara ini terdapat sekolah seni lukis peringkat tinggi yang menawarkan ijazah seni halus kepada sesiapa yang layak untuk mengikuti pengajarannya. Melalui institusi inilah ramai pelukis berkelulusan tinggi dihasilkan dari tahun ke setahun. Ianya menyumbang kepada perkembangan dunia senilukis Malaysia.
Di samping itu ramai juga pelukis yang tidak mempunyai pendidikan formal. Mereka ini samada belajar sendiri ataupun belajar melalui individu yang berpengalaman. Kelompok ini juga turut sama menyumbang kepada perkembangan dunia senilukis Malaysia.

Dalam aliran seni lukis formal di Malaysia, kita mengambil sukatan pelajaran daripada barat kerana kita tidak mempunyai sukatan pelajaran sendiri. Oleh kerana itu aliran senilukis formal di Malaysia dianggap sebagai ranting daripada aliran dari barat. Walaupun terdapat aliran daripada Asia seperti aliran senilukis Cina, India dan Islam, biasanya ia hanya diamalkan oleh kelompok etnik tertentu atau pengamal sesuatu fahaman. Tiada pendidikan formal untuk aliran sebegini yang diiktiraf berbanding aliran seni lukis barat.

Bagi kelompok pelukis tanpa pendidikan formal pula pendidikan seni lukis mereka lebih kepada pemerhatian, minat mendalam dan bakat semulajadi. Terdapat juga individu yang berpengalaman menurunkan pengalaman dan kebolehan mereka kepada generasi baru yang belajar daripadanya. Maka kebanyakkan pelukis tanpa pendidikan formal berkarya tanpa dibelengu oleh mana-mana aliran dan penghasilan karya mereka bercampur-baur dengan pelbagai gaya dan aliran.

Kepelbagaian etnik di Malaysia juga telah memecahkan dunia senilukis Malaysia kepada beberapa kelompok:

Kelompok pertama adalah seni lukis aliran dunia yang diiktiraf yang mana kebanyakkan pengamalnya terdiri daripada mereka yang diiktiraf oleh sekolah-sekolah seni lukis kebangsaan dan mempunyai jaringan dengan pendidikan tinggi peringkat antarabangsa. Pengamalnya terdiri daripada semua etnik di Malaysia.

Kelompok kedua ialah seni lukis aliran Asia, antaranya aliran Cina yang mana mereka mempunyai system pendidikan sendiri dan diamalkan oleh kaum Cina sahaja. Namun begitu terdapat juga kaum-kaum lain yang belajar seterusnya menjadi pengamal. Bagi kaum India terdapat juga pengamal aliran seni lukis kuno mereka tetapi jumlahnya terlalu sedikit dan biasanya tertumpu kepada seni lukis yang bersifat ritual.
Terdapat juga kaum Melayu yang beragama Islam mempelajari aliran seni lukis Islam. Walaupun mendapat sokongan penuh pemerintah, perkembangannya amat perlahan dan agak terpencil. Kekurangan pengamal dan popularity menjadikan aliran ini tidak berkembang dengan pesat serta tidak banyak perubahan yang ketara sejak dahulu lagi. Akibatnya aliran ini terkurung dalam lingkungan agama dan kepercayaan sahaja.

Kelompok ketiga adalah pengamal yang tidak melalui pendidikan formal. Kelompok ini biasanya menumpukan kepada penguasaan kemahiran semata-mata. Kebanyakkan daripada mereka menumpukan kepada perkhidmatan seni lukis seperti melukis potret atau tempahan lukisan hiasan. Mereka tidak ghairah mengambil tahu perkembangan dan gaya semasa senilukis antarabangsa. Ada juga yang kekal dalam gaya seni lukis yang tipikal untuk satu tempoh yang panjang.

Kesemua kelompok pengiat ini telah mewujudkan dunia seni lukis di Malaysia dan berkembang dengan pesat mengikut arus dunia. Walaupun masih dalam proses pembinaan dan perubahan seni lukis di Malaysia telah menempatkan dirinya sebagai salah satu ikon budaya negara. Penglibatan pemerintah dalam menyediakan infrastruktur, sokongan dan galakkan banyak membantu pertumbuhan bidang ini.

0 Response to "Dunia Seni Lukis di Malaysia"

Post a Comment

Powered by Blogger